Bolehkah penuntut institusi pendidikan tinggi tidak memiliki komputer sendiri sepanjang tempoh belajar pada tahun 2021?
Majoriti atau mungkin keseluruhan sesi pembelajaran atau kelas pada tahun 2021 diadakan secara atas talian. Untuk sesi seperti ini, penggunaan smartphone sepenuhnya adalah tidak mustahil. Ini kerana aplikasi seperti Google Meet, Zoom, Webex, Teams dan seumpamanya boleh digunakan pada phone.
Cuma, apabila hendak membuat assignment, pada saya adalah mustahil untuk bergantung kepada phone semata-mata. Walaupun aplikasi seperti Excel, Word, PowerPoint, Google Spreadsheet, Google Doc, Pages, Numbers, Keynote dan seumpamanya ada pada phone tetapi tanpa keyboard dan mouse, saya rasa adalah teramat sukar dan leceh utk menggunakan phone.
Pilihan yang ada pada penuntut yang tiada komputer ialah untuk meminjam daripada kenalan atau menyewa komputer di pusat siber. Kaedah ini membolehkan beliau menyiapkan assignment tetapi pastinya terbatas dari segi masa. Bila pinjam, tak boleh lah lama-lama dan kena pulangkan segera kerana pemilik asal pun mungkin nak guna juga. Kalau sewa, kena ikut waktu kedai dibuka pula. Walaupun begitu ia tidaklah mustahil.
Atas faktor ini, pemilikan komputer peribadi oleh penuntut institusi pendidikan tinggi adalah satu kemestian sebaik sahaja mereka telah mendaftar masuk (bukan sewaktu memohon). Jika penuntut ada masalah untuk memenuhi syarat ini, pihak-pihak berkenaan wajiblah bantu.
Saya dulu di awal 90an, pernah menuntut di ITM (kini UiTM). Hanya guna komputer di makmal sahaja - itu pun ada jadual atau giliran tertentu. Tapi adalah sangat tidak adil untuk buat perbandingan penggunaan komputer di kalangan penuntut pada tahun 90an dan 2021.
Teringat saya kata2 Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub yg saya pernah baca - 'tujuan asal penubuhan institusi ini ialah untuk membantu golongan Melayu dan Bumiputera yang miskin dan ketinggalan pada masa itu.' Adalah amat mendukacitakan selepas 60 tahun, jika masih ada penuntut institusi pengajian tinggi yang tidak dapat memiliki komputer sendiri. Sudahlah begitu, ada pula kalangan terpelajar yang sedang menikmati kemakmuran negara, merasa seolah2 terbeban pula dengan golongan penuntut seperti ini.